




PUTRAJAYA, 1-2 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkolaborasi bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam menjayakan program Wira Anti Rasuah (WAR) di dua buah sekolah terpilih bagi menilai keberkesanan tahap kefahaman advokasi antirasuah dalam kalangan kumpulan sasar terpilih
Kajian keberkesanan Inisiatif Integriti dan Pendidikan Antirasuah di Sekolah di bawah Projek Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah ini melibatkan seramai 60 murid darjah 6 daripada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14(1) dan 60 murid tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1) terlibat dalam menyempurnakan dapatan berkenaan
Program ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai murni, menyemai etika dan integriti sejajar dengan Strategi 1: Pendidikan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024 – 2028
Program sekolah rendah dimulakan dengan sesi pra-ujian (soal selidik awal) yang dikendalikan oleh pihak UUM dan diteruskan dengan sesi ceramah ‘Kami Wira Anti Rasuah’ yang disampaikan oleh Pegawai Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, KPKPs Aznirina binti Mohd Sahari diikuti dengan pelbagai pengisian aktiviti, kuiz serta kemunculan maskot Kapten MACC
Program sekolah rendah diakhiri dengan sesi pasca-ujian (soal selidik selepas program) juga dikendalikan oleh pihak UUM
Sementara pengisian Program SMK Putrajaya Presint 16(1) dimulakan dengan ceramah ‘Membentuk Generasi Bermaruah’ yang disampaikan oleh Pegawai Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, PPs Mohd Haffis bin Ramli diikuti dengan pengisian aktiviti dan kuiz secara kumpulan
Program sekolah menengah diakhiri dengan sesi pasca-ujian (soal selidik selepas program) juga dikendalikan oleh pihak UUM
Turut hadir, penyelidik dari UUM, UPSI dan UNIMAS, diketuai oleh Prof. Madya Dr. Norruzeyati Che Mohd Nasir
