






Oleh: Sholina Osman
5 OKT. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah bahawa usaha meningkatkan kesedaran serta memperkukuh semangat inklusif dalam kalangan warga emas, kanak-kanak dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) perlu terus diperkasakan agar mereka sentiasa dihargai, disantuni serta diutamakan dalam arus pembangunan masyarakat.
Baginda menegaskan bahawa melalui jalinan erat antara kerajaan, sektor swasta, badan masyarakat sivil dan seluruh rakyat, dapat dibentuk satu ekosistem inklusif yang menjamin kesejahteraan setiap lapisan umat Perlis tanpa ada yang tersisih.
“Antara langkah yang wajar diberi perhatian termasuklah memperluas akses pendidikan, meningkatkan kualiti kesihatan, membuka peluang pekerjaan serta menyediakan prasarana awam yang selesa dan mesra pengguna,” titah Baginda.
MENYEMPURNAKAN PERASMIAN MAJLIS
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Hari Warga Emas, Kanak-Kanak dan OKU Peringkat Negeri Perlis 2025 yang berlangsung di Kompleks STAR, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Kampus Arau.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, disambut oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa.
Majlis anjuran JKM Negeri Perlis itu diadakan bagi menghargai, meraikan dan menyantuni tiga kelompok penting masyarakat tersebut.
KEPENTINGAN MENJAGA KEBAJIKAN
Penganjurannya turut bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga kebajikan warga emas, mendidik serta melindungi kanak-kanak sebagai pewaris masa depan, selain mengiktiraf peranan golongan OKU agar tidak dipinggirkan daripada arus pembangunan negara.
Selain itu, program ini juga menjadi wadah memperkukuh semangat inklusif, menyemarakkan nilai kasih sayang, mempererat hubungan kekeluargaan, memupuk perpaduan masyarakat, serta menyokong usaha kerajaan dalam merangka dasar dan program mesra komuniti yang lebih berkesan demi kesejahteraan bersama.
Pada majlis tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian sambutan serta menyampaikan pengurniaan Anugerah Khas Jasamu Dikenang, Anugerah Khas Kanak-Kanak Huffaz Muda dan Anugerah Khas Ibu Bapa OKU. – JM
