

Wartawan JM
6 OKT. 2025
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan berkuat kuasa hari ini sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, permohonan pembubaran itu sudah diperakukan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pagi ini.
“Dengan perkenan Tuan Yang Terutama Tun Musa, Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 akan dibubarkan berkuat kuasa hari ini, Isnin 6 Oktober 2025,” kata beliau dalam kenyataan media.
Beliau berkata ini memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17, dan memberi kuasa kepada rakyat Sabah menggunakan hak demokrasi mereka untuk menentukan siapa yang akan memimpin mereka.
MENCERMINKAN KOMITMEN KAMI
“Keputusan ini mencerminkan komitmen kami terhadap demokrasi dan proses perlembagaan,” tambah beliau.
Jelas beliau di sepanjang lima tahun yang lalu, kita telah bekerja dengan gigih untuk membawa perubahan dan pertumbuhan yang bermakna kepada negeri dan rakyatnya.
“Melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang holistik dan inklusif, kami telah menetapkan Sabah pada landasan transformasi yang jelas sejak menerajui negeri ini pada pada September 2020,” jelas Hajiji.
Beliau menjelaskan dengan berpandukan tiga tonggak utamanya – Pertama, Pertanian, Industri dan Pelancongan, kedua, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, dan ketiga, Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, pelan hala tuju ini telah mencapai kemajuan yang sebenar.
MENGAMBIL LANGKAH BERANI
“Kami mengambil langkah berani dan bertanggungjawab untuk menangani isu lama yang diwarisi terutamanya berkaitan bekalan air dan elektrik serta infrastruktur kritikal,” kata beliau.
Hajiji memberitahu tindakan konkrit dan beberapa projek besar sedang dijalankan untuk menyelesaikan cabaran yang diwarisi ini yang telah membebankan rakyat sejak sekian lama.
Tambah beliau beberapa inisiatif telah disiapkan, sementara sebahagian yang lain sedang berjalan untuk disiapkan.
Dalam tempoh ini, Sabah telah mengukuhkan ekonominya, jelas beliau telah berjaya menarik pelaburan baharu untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meluaskan bantuan pendidikan dan meningkatkan kesejahteraan sosial semua lapisan masyarakat.
SOKONGAN DAN VISI
Pencapaian ini kata Hajiji adalah hasil kepercayaan, sokongan dan visi bersama rakyat untuk Sabah yang lebih baik.
Namun katanya kerja kita belum selesai di mana cabaran baharu menuntut penyelesaian yang berani, dan kita bersedia membawa Sabah ke lembaran seterusnya.
Dengan pembubaran ini, kami memohon mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan usaha yang telah kami mulakan – membina Sabah yang lebih kukuh, lebih makmur dan bersatu untuk semua.
“Besar harapan saya agar keputusan pilihan raya kelak akan mengukuhkan suara rakyat, menjaga kestabilan dan keselamatan, serta memastikan kemajuan berterusan untuk Sabah tercinta,” tambah beliau. – JM
