







Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
6 OKT. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Pakistan, Mian Shehbaz Sharif menyaksikan pertukaran lima Memorandum Persefahaman (MoU) serta satu Pertukaran Nota yang menandakan satu lagi langkah penting dalam mengukuhkan hubungan Malaysia dan Pakistan.
“Ia merangkumi bidang pendidikan tinggi, pensijilan halal, pencegahan rasuah, pelancongan, dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) manakala Pertukaran Nota memberi tumpuan kepada latihan bersama untuk para diplomat,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
TEKAD DAN ASPIRASI
“Dalam sidang media bersama, kami turut mengulangi tekad dan aspirasi untuk terus memperkukuh hubungan dan kerjasama dalam beberapa bidang baharu dan berimpak tinggi antaranya teknologi digital, semikonduktor, serta pendidikan STEM,” tambah beliau.
Selain itu jelas Perdana Menteri antara mereka juga sependapat dalam isu Gaza, di mana Malaysia dan Pakistan berpegang teguh kepada prinsip kemanusiaan sejagat bahawa segala bentuk pembunuhan dan pembantaian terhadap rakyat Palestin mesti dihentikan.
“Keutamaan harus diberikan kepada perlindungan hak asasi rakyat Palestin serta usaha yang berterusan bagi merealisasikan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat,” tambah Anwar.- JM
