Zon Maritim Kuala Perlis tahan 3 Vesel Nelayan Tempatan tangkap siput secara haram

Wartawan JM
6 OKT. 2025

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis terus memperketat penguatkuasaan terhadap aktiviti penangkapan hasil laut secara haram setelah berjaya menahan tiga buah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) tanpa nombor pendaftaran di perairan Kuala Perlis dalam operasi bersepadu di tiga lokasi berbeza, kelmarin.
 
Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom, operasi bersepadu yang dilaksanakan itu adalah hasil kerjasama strategik bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah inisiatif kerjasama agensi sahabat.
 
Mengulas lanjut berkaitan vesel yang ditahan, Nak Rong memaklumkan, ketiga-tiga vesel tersebut dikesan di tiga lokasi yang berasingan iaitu  kira-kira 6.5 hingga 7.3 batu nautika dari barat muara Kuala Sanglang, Perlis ketika mereka sedang leka menangkap siput menggunakan sangkar besi.  

DUA BUAH VESEL
 
Hasil pemeriksaan mendapati, dua buah vesel yang berpangkalan di Kuala Perlis itu masing-masing dikendalikan oleh seorang tekong dan dua orang awak-awak, manakala sebuah vesel lagi dikendalikan seorang tekong dan tiga orang awak-awak dan kesemuanya adalah warga tempatan berusia 19 hingga 52 tahun. 
 
“Walaupun pihak kami telah memberi amaran serta kerap melakukan rondaan dan tangkapan, aktiviti menangkap siput secara haram masih berleluasa,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.
 
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegasnya.
 
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8(a) kerana melanggar syarat lesen dan Seksyen 11(3)(c) kerana memasang peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran  Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

DIKENAKAN TINDAKAN TEGAS
 
Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda atau hukuman lebih berat.
 
Vesel, peralatan menangkap siput, serta hasil tangkapan dianggarkan bernilai lebih RM300,000.00 telah dirampas dan dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan lanjut.

Kesemua suspek turut ditahan bagi membantu siasatan.
 
Dalam pada itu, Maritim Malaysia mengingatkan semua pengusaha perikanan supaya mematuhi peraturan sedia ada demi kelestarian ekosistem marin.  

MENJADI SUMBER EKONOMI
 
“Aktiviti menangkap siput sememangnya menjadi sumber ekonomi bagi sebahagian masyarakat, namun ia perlu dilakukan secara bertanggungjawab.”
 
“Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat dan kebenaran daripada Jabatan Perikanan Negeri Perlis sebelum menjalankan sebarang aktiviti perikanan,” tambahnya.
 
Beliau dalam pada itu turut berkata, kerjasama erat antara Maritim Malaysia dan agensi sahabat membuktikan bahawa pendekatan penguatkuasaan secara bersama mampu meningkatkan keberkesanan pemantauan di lapangan, khususnya di kawasan perairan yang berisiko tinggi.
 
Sementara itu, Maritim Malaysia turut menyeru orang awam agar melaporkan sebarang kegiatan jenayah maritim termasuk penyeludupan dan aktiviti perikanan haram di perairan negara.
 
Sebarang aduan atau kecemasan di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162, atau menghubungi talian kecemasan 999. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *