Malaysia tidak gentar perjuang kebenaran bersama masyarakat antarabangsa tentang kekejaman rejim Zionis

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
9 OKT. 2025

Malaysia tidak gentar memperjuangkan kebenaran di mana akan terus berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan, menentang kekejaman rejim Zionis dan menuntut agar bantuan kemanusiaan disalurkan segera kepada rakyat Gaza.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara ini juga akan terus membingkai muafakat dengan negara-negara sahabat, dunia Islam dan blok kemanusiaan sejagat dalam merealisasikan misi bantuan serta membuka jalan kepada keamanan yang hakiki demi melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan bermaruah.

“Selagi bumi Gaza terus dibantai dan dinodai, kita tidak akan berdiam diri sebaliknya suara kita akan terus bergema di jalanan, pentas dunia dan di setiap ruang hati rakyat Malaysia,” kata beliau dalam hantaran di FB.

HIMPUNAN SOLIDARITI BERSAMA

Terdahulu Perdana Menteri bersama aktivis Global Sumud Flotila (GSF) pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

“Malam tadi, rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa berhimpun sebagai satu hati, menyuarakan solidariti buat saudara-saudara kita di Gaza yang terus dizalimi dan dinafikan hak menerima bantuan kemanusiaan,” kata beliau.

“Saya amat tersentuh melihat lautan manusia yang hadir dengan jiwa penuh kasih dan keberanian. Mereka datang bukan kerana dipaksa tetapi kerana hati nurani yang menolak kezaliman dan menuntut keadilan,” tambah beliau.

Kata Perdana Menteri inilah wajah sebenar Malaysia, bangsa yang berprinsip, berjiwa besar dan tidak rela melihat penindasan bermaharajalela.

Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka! – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *