JDDPs perlu berperanan lebih proaktif dalam memperkukuh kebajikan masyarakat – Raja Perlis

Oleh: Sholina Osman
13 OKT. 2025

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah agar Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Perlis (JDDPs) terus memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memperkukuh kebajikan masyarakat serta memperluas jaringan keanggotaan demi manfaat rakyat dan negeri Perlis.

Baginda menzahirkan rasa sukacita melihat usaha murni JDDPs yang semakin berkembang, khususnya apabila dalam tahun-tahun kebelakangan ini pertubuhan tersebut turut bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan dalam melaksanakan program sumbangan kepada anak-anak yatim dan asnaf, terutamanya menjelang musim perayaan.

“Jamuan makan pada malam ini bukanlah sekadar sebuah pertemuan sosial, tetapi ia juga mengandungi elemen kebajikan yang akan disalurkan kepada Tabung Pendidikan Jemaah Dato’-Dato’, yang sejak penubuhannya telah digunakan untuk membantu pendidikan anak-anak yatim serta golongan asnaf,” titah Tuanku Syed Sirajuddin.

MAJLIS SANTAPAN MALAM

Titah tersebut dizahirkan ketika Baginda berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Santapan Malam anjuran JDDPs sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-82, yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Keberangkatan Tuanku Raja diiringi oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, .

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam serta isteri, Toh Puan Dr Asmah Abd Rahman.

MENYATAKAN KOMITMEN JDDPs

Dalam ucapannya, Presiden Jemaah Dato’-Dato’ Perlis, Mejar Jeneral (B) Datuk Hussin Md Tahak menyatakan komitmen JDDPs untuk terus memperluas bidang khidmatnya.

“Insya-Allah, mulai tahun hadapan, JDDPs akan memperluas bidang perkhidmatan melangkaui pendidikan merangkumi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Negeri Perlis. Namun, usaha ini pastinya bergantung kepada kemurahan hati para dermawan sekalian,” ujar beliau.

Majlis turut menyaksikan Tuanku Raja Perlis berkenan menyempurnakan upacara memotong kek sempena Ulang Tahun, diiringi Tuanku Raja Perempuan Perlis serta melancarkan sebuah buku terbitan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjudul ‘Transformasi Sahsiah Belia Asnaf Perlis: Ke Arah Pembangunan Insan Yang Berdaya Saing Dan Mampan’.

HASIL PENULISAM ILMIAH

Buku berimpak ini adalah hasil penulisan ilmiah oleh ahli akademik dari UniMAP, USM, UniSIRAJ, UiTM dan IPG Kangar Perlis. Topik dalam buku ini meliputi isu-isu yang dihadapi oleh belia asnaf serta strategi penyelesaian yang berkesan.

Antara isu yang dikupas ialah peranan bantuan zakat dalam memperkasa prestasi akademik pelajar asnaf, pembangunan model personaliti unggul bagi pesalah juvana, peningkatan penguasaan penulisan Bahasa Inggeris melalui pendekatan kecerdasan pelbagai dan pemerkasaan peribadi, peranan motivasi sebagai pemangkin kejayaan akademik dan pembentukan sahsiah.

Semua isu yang dikupas dan dizahirkan dalam buku ini menekankan bahawa transformasi bukan sekadar perubahan tingkah laku luaran tetapi melibatkan pembinaan jati diri yang kukuh dan berprinsip. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *