



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
13 OKT. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap kelulusan pembangunan baharu mesti berpaksikan nilai kemanusiaan, sama ada projek berasaskan bandar pintar, kecanggihan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata bandar pintar bukan sekadar binaan megah atau sistem canggih, tetapi cerminan bagaimana kemajuan dapat mengangkat kesejahteraan hidup rakyat.
Justeru itu kata beliau masalah asas rakyat seperti lif usang di perumahan awam, gerai yang uzur dan kemudahan awam yang daif tidak boleh diabaikan.
PEMBANGUNAN BUKAN DIUKUR
“Kejayaan pembangunan bukan diukur pada menara yang menjulang, tetapi pada sejauh mana rakyat kita hidup dengan selesa, sejahtera dan bermaruah,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Sebelum itu Anwar mempengerusikan
Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-49.
“Dalam mesyuarat berkenaan tumpuan diberikan kepada usaha memastikan setiap pembangunan di tanah air dirancang dan dilaksanakan dengan menyeimbangkan kemajuan fizikal dengan kesejahteraan insan,” kata Anwar.
WARISAN DAN BUDAYA
Anwar juga menyeru Kerajaan Negeri menumpukan perhatian kepada pemuliharaan warisan dan budaya, khususnya di kawasan bandar lama dan lokasi bersejarah.
Jelas beliau pembangunan moden perlu memelihara seni bina tempatan dan nilai warisan bangsa agar kemajuan tidak mengorbankan jati diri serta keindahan yang membentuk identiti Malaysia.
“Hasil mesyuarat ini akan menjadi panduan kepada agensi perancang dan pihak berkuasa tempatan dalam merangka dasar serta meluluskan projek masa hadapan supaya pembangunan negara terus berpaksikan keseimbangan antara fizikal, teknologi dan kemanusiaan,” tambah beliau. – JM
