Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis hadir majlis santapan tengah hari di Luminare Hall

Oleh: Sholina Osman
14 OKT. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku
Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari bagi meraikan Sambutan 25 tahun Pemasyuran Baginda Berdua sebagai Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis.

Majlis berlangsung di Luminare Hall, Petaling Jaya Trade Centre, Damansara Perdana, Kuala Lumpur.

Majlis yang dihoskan oleh Mal Tel Technology Son Bhd dan Dahua Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Luminare Hall bersempena program Kayuhan Smart MAL tersebut bukan sekadar memperingati dua dekad setengah kepimpinan diraja yang penuh makna, malah turut menzahirkan penghargaan terhadap jasa, kebijaksanaan serta visi Baginda berdua dalam memacu kemajuan negeri dan memperkasa ummah.

25 TAHUN KEPIMPINAN

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor yang hadir di majlis tersebut berkongsi bahawa sambutan ini turut menandakan 25 tahun kepimpinan Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai Yang DiPertua MAIPs, menjadikan baginda penyandang paling lama memegang jawatan tersebut sejak 14 Disember 2001.

Di bawah kepimpinan Tuanku Syed Faizuddin Putra, MAIPs telah melalui transformasi menyeluruh sehingga meraih Sijil Bersih Penyata Kewangan Jabatan Audit Negara selama 12 tahun berturut-turut (2012–2023) serta berjaya mengantarabangsakan jenama MAIPs.

Berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari La Trobe University, Melbourne, Tuanku merupakan satu-satunya pewaris takhta di Malaysia yang merupakan alumni universiti Australia, serta penerima tiga Ijazah Doktor Kehormat daripada institusi pengajian tinggi di Australia, Thailand dan terkini, Indonesia.

PADA BUKAN RAMADAN

Sebagai Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Baginda mencetuskan program Eksesais Perlis–Sabah (Eks PERBAH) pada bulan Ramadan setiap tahun di kawasan Op PASIR perairan Pantai Timur Sabah sejak tahun 2004, yang kini menjadi platform memperkukuh semangat patriotik dan integrasi nasional.

Dalam bidang sukan pula, Tuanku Raja Muda menjadi perintis kepada pembangunan sukan woodball di Malaysia melalui Liga Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra, dengan Perlis bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) ke-10 tahun 2026 yang akan datang nanti.

Inisiatif MAIPs Peduli yang diperkenalkan pada tahun 2013 pula mencerminkan keprihatinan Tuanku terhadap kebajikan golongan asnaf. Sehingga kini, inisiatif tersebut telah merealisasikan lebih daripada 1,000 siri kayuhan, melibatkan 51,028 penerima bantuan dengan peruntukan melebihi RM33 juta.

MELALUI MISI KEMANUSIAAN

Keprihatinan baginda turut merentasi sempadan antarabangsa melalui misi kemanusiaan di Bangladesh, sempadan Jordan-Syria, Palestin dan Kenya, termasuk projek MAIPs Ndengu Revolution yang diiktiraf oleh Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC).

Dalam bidang pendidikan, baginda menyerlah sebagai Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), selain Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, yang telah memberi manfaat kepada lebih 34,000 pelajar sekolah menengah di negeri Perlis melalui program Titian Kasih Mega bertemakan ‘Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’.

Penubuhan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) di bawah naungan MAIPs pada tahun 2021 pula memperkukuh lagi komitmen baginda dalam memartabatkan pendidikan di Perlis.

SEBAGAI LAMBANG KECEMERLANGAN

Sempena ulang tahun pemasyhuran ke-25 baginda berdua, MAIPs terus muncul sebagai lambang kecemerlangan tadbir urus, keilmuan, kemanusiaan dan kasih sayang terhadap rakyat, seiring dengan visi Tuanku sebagai pemimpin berjiwa rakyat serta tokoh diraja berwibawa di persada dunia.

Di bawah naungan dan bimbingan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Perlis terus melangkah maju sebagai negeri berteraskan keilmuan, kesejahteraan dan kemanusiaan, seiring visi baginda untuk menjadikan setiap langkah pemerintahan sebagai rahmat kepada seluruh umat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *