






Oleh: Sholina Osman
15 OKT. 2025
Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis muncul juara pertandingan bola sepak merebut Piala Syed Putra Tahun 2025.
Pasukan ini telah berjaya menewaskan 2 RRD dengan keputusan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir yang penuh sengit di Stadium Kementerian Pertahanan (KEMENTAH), Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, selaku Kolonel Yang DiPertua Rejimen Renjer Diraja (RRD), berkenan berangkat menyaksikan perlawanan akhir tersebut dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan hadiah-hadiah kepada para pemenang.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengerusi RRD, Brigedier Jeneral Shamsor Jaafar.
Kejayaan ini menyaksikan 4 RRD menjulang trofi kejuaraan, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pasukan bola sepak terbaik dalam Rejimen Renjer Diraja.
MEMPAMERKAN AKSI CEMERLANG
Sempena kejohanan tersebut, Koperal Hamizan Syukri dari 9 RRD diumumkan sebagai Penjaring Gol Terbanyak, manakala Lans Koperal Zulpian Anduru dari 2 RRD dinobatkan sebagai Pemain Terbaik selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan berlangsung.
Piala Syed Putra merupakan acara tahunan Rejimen Renjer Diraja yang bertujuan mencungkil bakat baharu dalam kalangan anggota untuk diketengahkan ke peringkat Tentera Darat Malaysia.
Penganjuran kejohanan ini juga berperanan memperkukuh semangat kesukanan, kerjasama berpasukan serta jalinan ukhuwah dalam kalangan warga rejimen infantri tersebut. – JM
