




Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
15 OKT. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) terus menunjukkan momentum luar biasa dalam menarik pelaburan strategik antarabangsa.
Beliau berkata bagi separuh pertama tahun 2025 sahaja, jumlah pelaburan diluluskan di JS-SEZ telah mencecah RM37 bilion, bersamaan 66 peratus daripada keseluruhan pelaburan di Negeri Johor yang bernilai RM56 bilion.
“Perkembangan positif ini dimaklumkan semasa saya mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa (MOA) ke-35, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) hari ini,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
MENELITI KEMAJUAN PELAKSANAAN
Beliau berkata mesyuarat turut meneliti kemajuan pelaksanaan JS-SEZ termasuk sektor berpotensi, kesan pelaburan semasa serta langkah memperkukuh fasilitasi pelaburan, khususnya melalui Zon Kewangan Khas Forest City.
Setakat ini, kata beliau Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) telah berjaya menarik minat 104 pelabur berpotensi dengan anggaran pelaburan berjumlah RM29.51 bilion.
“Saya turut menegaskan pentingnya pembangunan di Iskandar Malaysia diselarikan dengan penyediaan kemudahan asas yang mencukupi agar kemajuan wilayah ini bersifat inklusif bagi memastikan tiada kelompok masyarakat yang terpinggir daripada arus kemakmuran,” jelas Perdana Menteri. – JM
