Dr Wan Azizah lancar Program Pensijilan dan PsyQiQ Plus

Wartawan JM
Foto FB Dr Wan Azizah Wan Ismail
17 OKT. 2025

Isteri Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir dalam Majlis Pelancaran Program Pensijilan dan PsyQiQ Plus di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya.

Majlis ini dianjurkan oleh Open University Malaysia (OUM) dengan kerjasama Pertubuhan KASIH Malaysia.

Turut hadir, Profesor Dr Ahmad Izanee Awang, Presiden merangkap Naib Canselor OUM; Profesor Datuk Dr Mohd Tajudin Md Ninggal, Naib Presiden merangkap Timbalan Naib Canselor (Akademik & Penyelidikan) OUM; serta Prof Madya Dr Hamidah Mat, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) OUM.

APLIKASI BERASASKAN WEB

Dr Wan Azizah selaku Pengerusi KASIH Malaysia berkata PsyQiQ Plus merupakan satu aplikasi berasaskan web yang dibangunkan OUM hasil daripada projek penyelidikan untuk menjalankan program pemprofilan psikometrik terhadap pelajar.

Beliau berkata ia merupakan inisiatif bagi memperkukuh sokongan psikososial di institusi pendidikan.

Jelas Dr Wan Azizah empat program pensijilan baharu turut diperkenalkan, iaitu Sijil Asas Kaunseling, Sijil Profesional Kaunseling Kesihatan Mental, Sijil Profesional Psikologi serta Sijil Pengajian Islam Lanjutan.

Beliau berkata perkhidmatan sokongan psikososial yang mampan dan mudah diakses perlu diwujudkan bagi membolehkan rakyat Malaysia mendapat bantuan segera.

“Ini juga merupakan langkah bagi memperkukuh penyediaan perkhidmatan sokongan psikososial yang lebih menyeluruh, mudah dicapai dan responsif bagi memastikan rakyat Malaysia dapat memperoleh bantuan kesihatan mental dengan segera,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *