





Wartawan JM
18 OKT. 2025
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited memperkukuh kesiapsiagaan sektor komunikasi, pos dan kurier dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.
Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan pelaksanaannya menerusi Program Peluncuran Kesiapsiagaan dan pentauliahan Pasukan Emergency and Disaster Response Team (EDRT) MCMC sebagai sebahagian daripada Civil Defence Auxiliary (CDA) di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Majlis peluncuran kesiapsiagaan yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.
TURUT MENGHIMPUNKAN AGENSI
Program ini turut menghimpunkan agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), MetMalaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PRDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Suruhanjaya Tenaga, Sabah Electricity, Sarawak Energy Berhad, Tenaga Nasional Berhad, pemain-pemain industri telekomunikasi, pos dan kurier, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyelaras pelan tindakan bencana yang lebih bersepadu.
“Berdasarkan data MCMC, sebanyak 597 stesen pemancar terjejas sepanjang MTL 2024/2025, dengan 54.1 peratus daripadanya di Wilayah Timur,” kata kenyataan itu.
Selain itu, sebanyak 147 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut terkesan, melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Sarawak, Sabah dan beberapa negeri lain.
RANGKA KERJA PENGURUSAN
МСМС telah membangunkan Rangka Kerja Pengurusan Bencana yang merangkumi tiga fasa utama iaitu; Kesiapsiagaan sebelum bencana – penilaian risiko menara komunikasi, pengenalpastian kawasan berisiko, serta penyediaan aset dan bekalan kuasa.
Selain itu respon semasa bencana – pengaktifan pelan pengurusan bagi menjamin kesinambungan liputan komunikasi.
Seterusnya Pemulihan pasca bencana – semakan SOP melalui post-mortem untuk menambah baik proses.
PENGURUSAN BENCANA PUSAT
“Rangka Kerja ini telah diedarkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 13 Oktober lalu untuk tujuan pelaksanaan kesiapsiagaan,” tambah kenyataan itu lagi.
Melalui kerjasama rapat dengan agensi utama dan pemain industri, MCMC berhasrat untuk memastikan rangkaian komunikasi kritikal lebih berdaya tahan dengan gangguan minimum, agar operasi menyelamat dapat berjalan lancar serta penyaluran bantuan dan maklumat kepada rakyat dapat disampaikan dengan lebih baik dan berkesan. – JM
