
Wartawan JM
18 OKT. 2025
Pemergian Shing Xuen bukan sekadar suatu tragedi tapi biarlah ia sebagai panggilan buat semua lebih peka, lebih mendengar dan lebih memahami dunia anak-anak kita.
Itulah luahan Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pada hantaran di FB semasa hadir menziarahi keluarga mendiang Yap Shing Xuen bagi menyampaikan ucapan takziah daripada beliau sendiri, keluarga dan seluruh warga besar KEADILAN.
Jelas beliau kepada Shing Xuen, nama mendiang tidak sepatutnya terpapar di muka depan akhbar dengan cara begini.
Kadang-kadang, ada perit yang tidak terucap, ada kosong yang tidak terisi. Tiada kata yang mampu mengungkap derita yang sedang dilalui.
KEKUATAN IBU MENDIANG
Namun begitu, melihat kekuatan ibu mendiang dalam mengharungi dugaan yang tidak dapat dibayangkan itu membuatkan beliau lebih berazam untuk menuntut keadilan; demi keselamatan anak-anak kita semua.
Daripada kes arwah Zara Qairina, kepada kes pemerkosaan yang mencemaskan, mangsa dan pelaku semuanya adalah kanak-kanak.
Jelas sekali hal ini menuntut perubahan secara drastik dan holistik sebelum lebih ramai lagi menjadi mangsa.
MARI KITA BERSATU
“InsyaAllah, mari kita bersatu dan bersama-sama berazam untuk membolehkan masa depan yang lebih baik untuk semua anak-anak kita,” kata beliau.
Sama-samalah kita berganding tangan, memperjuangkan keadilan untuk Shing Xuen dan keluarganya; untuk semua anak-anak kita. Sebagai seorang ibu yang juga pernah kehilangan anak, saya terasa pedihnya duka ini tiada pengganti.
“Walaupun tiada apa yang dapat mengubati luka kehilangan, saya berdoa semoga kebenaran yang akan dibongkar dapat menjadi sebuah pelukan, sedikit sebanyak mengubati hati yang sedang terluka,” tambah beliau. – JM
