




Port Dickson, 17 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh komitmen terhadap integriti warga kerjanya menerusi penganjuran Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) 2025 dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Program selama tiga hari bermula 15 Oktober lalu memberi tumpuan kepada latihan pentauliahan pengendalian ujian saringan awal air kencing kepada pegawai SPRM bagi memastikan pelaksanaannya mematuhi piawaian integriti serta tatakelakuan profesional.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi berkata, program itu bukan sekadar memberikan latihan teknikal, malah memperkukuh kefahaman pegawai terhadap nilai integriti, etika dan profesionalisme ketika menjalankan tugas.
“Ujian saringan ini menuntut pematuhan terhadap piawaian integriti serta kelayakan moral tertinggi kerana ia mencerminkan imej dan kredibiliti SPRM,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Klana Beach Resort, di sini, hari ini.
Program ini turut dilaksanakan selaras dengan Nota Kerjasama antara SPRM dan AADK yang dimeterai pada April lalu, bagi memperkukuh kerjasama strategik ke arah mewujudkan tempat kerja bebas dadah dan bahan terlarang.
Seramai 39 pegawai dan kakitangan daripada Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme serta Bahagian Keselamatan SPRM menyertai program berkenaan.
Program ini menjadi platform penting dalam memperkukuh komitmen warga SPRM terhadap prinsip integriti, sekali gus membentuk persekitaran kerja yang sihat, selamat dan bebas daripada pengaruh bahan terlarang.
Turut hadir Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM, KPKPj Syed Mohd Termizi Syed Musa; Timbalan Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM, PKPj Haiyu Syahida Zakaria serta Pegawai Bahagian Pencegahan, Ibu Pejabat AADK, Masliza Omar.
