Penduduk Wang Kelian, CVIA disaran bertindak dari sekarang rancang jana ekonomi – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
20 OKT. 2025

Saranan kepada kepimpinan sehinggalah kepada penduduk setempat di sepanjang jalan utama ke Pekan Wang Kelian supaya mulai merancang untuk menjana ekonomi.

Bagaimanapun jangan sesekali perancangan menjana ekonomi ini sehingga melanggar batasan agama dan juga undang-undang.

Persediaan ini penting kerana setelah Kerajaan Pusat meluluskan pembukaan semula Zon Aliran Bebas di Wang Kelian nanti maka penjanaan ekonomi akan menjadi bertambah rancak.

PERSENDIRIAN, KELUARGA, KOPERASI

Pelbagai inisiatif perniagaan ini boleh dilakukan secara persendirian, keluarga, koperasi dan sebagainya.

Tambahan pula lokasi tersebut pernah menjadi tumpuan pengunjung terutamanya pada hujung minggu sehinggalah ditutup pada tahun 2015 dan pada kali ini jangan sesekali didominasi oleh peniaga asing.

Jangan tunggu Zon Aliran Bebas di Wang Kelian dibuka baharu hendak menjana ekonomi tetapi sekarang sesuai untuk dimulakan kerana jumlah
pelancong yang mengunjungi Gua Kelam, Wang Kelian Viewpoint dan juga Titi Gantung FRIM semakin meningkat.

BANYAK DESTINASI MENARIK

Justeru itu pelancong mesti melalui kawasan tersebut dan memerlukan lebih banyak destinasi menarik sebagai persinggahan baharu sama ada untuk melawat, menjamu selera atau membeli produk hasil setempat yang unik.

Bagi yang tinggal di sekitar 15 kilometer dari pekan Padang Besar dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) pula perkara yang sama hendaklah dirancang dengan teliti segera sekiranya Zon Perdagangan Bebas di Padang Besar mula diimplimentasikan nanti.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Al-Azimm, Titi Tinggi dekat Padang Besar.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

PRODUK-PRODUK TEMPATAN

Tuanku Syed Faizuddin Putra menambah bahawa produk-produk tempatan wajar diketengahkan dan dipasarkan secara lebih meluas, kerana aktiviti bisnes ini berpotensi besar menjana pendapatan masyarakat setempat, khususnya pada musim cuti umum dan cuti persekolahan.

Pada masa yang sama Tuanku Raja Muda menegaskan bahawa kebersihan, kualiti dan perkhidmatan yang cemerlang menjadi kunci kepada kepercayaan pelanggan bukan sahaja untuk bertandang sekali tetapi untuk berulang kali, sekali gus menjadikan Padang Besar dan juga Wang Kelian sebagai destinasi pilihan.

Sempena program berkenaan juga, baginda turut berkenan menyempurnakan penyampaian agihan zakat MAIPs kepada seramai 255 orang asnaf terpilih yang terdiri daripada anak-anak kariah Titi Tinggi, Bukit Chabang dan Wang Kelian.

Setiap penerima menerima sumbangan tunai berjumlah RM700, menjadikan jumlah keseluruhan agihan mencecah RM157,500.00 pada sesi kali ini sebagai manifestasi keprihatinan MAIPs terhadap kesejahteraan umat Islam di negeri Perlis. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *