


Sepang | 20 Oktober 2025 (Isnin)
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyambut ketibaan Tuan Yang Terutama Gilbert F. Houngbo, Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 petang tadi. Ketibaan beliau disambut oleh YM Raja Mohd Nizam bin Raja Kamarul Bahrin, Setiausaha Bahagian Antarabangsa KESUMA dalam suasana mesra dan penuh hormat.
Lawatan rasmi TYT Houngbo ke Malaysia menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh kerjasama Malaysia–ILO ke arah pembangunan tenaga kerja yang adil, inklusif dan mampan.
Selaras dengan teras Keterangkuman dan Kesejahteraan Malaysia MADANI, kunjungan ini memperkukuh komitmen negara terhadap prinsip keadilan sosial, amalan pekerjaan beretika serta perlindungan sosial sejagat.
Di bawah kepimpinan YB Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia, Malaysia komited memperjuangkan hak pekerja, memperkukuh latihan kemahiran dan memodenkan pasaran buruh melalui pelbagai inisiatif bersama ILO.
Lawatan ini turut membuka ruang baharu untuk kerjasama teknikal dalam bidang pembangunan kemahiran, perlindungan sosial, pekerjaan masa hadapan dan ekonomi gig — sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI: Masyarakat Progresif dan Sejahtera.
Malaysia dan ILO terus berkongsi matlamat membina dunia pekerjaan yang inklusif, berdaya saing dan berperikemanusiaan — memastikan setiap pekerja dihargai, dilindungi dan berpeluang maju dalam kerjaya.
