2,854 pengamal media dari 34 negara daftar liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Fahmi

Oleh: Sholina Osman
Foto FB Fahmi Fadzil
22 OKT. 2025

Seramai 2,854 pengamal media dari 34 negara telah mendaftar bagi membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan, yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini dari 26 hingga 28 Okt ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah itu ia melibatkan 290 agensi dari dalam dan juga luar negara.

“Ia juga merangkumi 648 wakil media rasmi Malaysia, 327 media tempatan dan 1,277 media antarabangsa telah disahkan mendaftar setakat 12.30 tengah hari tadi,” kata beliau.

Sebelum itu Fahmi meninjau persiapan di Pusat Media Antarabangsa (IMC) dan Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) sempena sidang kemuncak berkenaan hari ini.

PALING RAMAI WAKIL

Fahmi berkata antara negara yang menghantar paling ramai wakil media ialah Jepun sebanyak 314 orang diikuti Amerika Syarikat (181), Republik Korea (101) dan Filipina (68).

Beliau berkata sebanyak 33 unit 5G-in-a-box disediakan di sekitar KLCC, termasuk enam unit khas untuk pengamal media di IMC bagi memastikan capaian Internet lebih pantas dan stabil.

“WiFi disediakan Telekom Malaysia dengan lebar jalur maksimum 10Gb, manakala titik capaian WiFi 7 mampu menyokong antara 3,000 hingga 4,000 peranti pada satu masa,” tambah beliau.

DISERTAI PEMIMPIN TERTINGGI

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini disertai pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan India.

Sidang kemuncak itu dijangka menjadi acara terbesar dalam sejarah penganjurannya sejak kali pertama diadakan pada 1976. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *