







Oleh: Sholina Osman
22 OKT. 2025
Perlis akan memulakan Program Sekolah Integrasi Perlis (SIPs) Pratahfiz mulai Januari 2026.
SIPs Pratahfiz ini menggabungkan model KAFA Pratahfiz Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan Tahfiz Muda Ulul Albab Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Ia bertujuan untuk memperkukuh asas hafazan dan akademik di peringkat awal persekolahan lagi.
Serentak itu Perlis juga
akan memperkenalkan Ujian Penilaian Sekolah Integrasi Perlis dengan nama singkatnya (UPSIPs) bagi menilai kefahaman murid dalam Program Sekolah Integrasi Perlis (SIPs) iaitu gabungan kurikulum KAFA Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Sekolah Agama Petang Perlis (SAPPs) Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
PROGRAM MAIPs PEDULI
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran MAIPs yang berlangsung di sekitar Beseri baru-baru ini.
Program berkonsepkan kayuhan amal ini bukan sahaja menjadi wadah pengagihan bantuan zakat secara langsung kepada golongan asnaf, malah berperanan sebagai medium mempereratkan hubungan antara pemimpin dan umat Perlis.
Inisiatif tersebut turut seiring dengan aspirasi memperkukuh jaringan sokongan sosial, di samping menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.
PENYAMPAIAN SUMBANGAN MAIPs
Sempena kayuhan berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs berupa wang tunai berjumlah RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah.
Pada edisi kali ini, asnaf yang terpilih menerima sumbangan ialah Norizan Yahaya, 50, dari Kampung Padang Lati, Hasnul Hassan, 50, dari Kampung Alor Tampang; dan Abdul Rahim Chat, 65, dari Kampung Padang Lati.
Raja Muda juga berkenan singgah di kafe Oven Rimba sempena program tersebut. – JM
