
Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
23 OKT. 2025
Perdana Menteri India Narendra Modi akan menghadiri secara atas talian sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 memandangkan perayaan Deepavali yang masih diraikan di negara berkenaan pada ketika itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dimaklumkan perkara itu semasa menerima panggilan telefon dari Modi malam tadi semasa berbincang mengenai penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada hujung bulan ini.
“Saya menghormati keputusan Modi dan menzahirkan ucapan selamat menyambut Deepavali kepada beliau serta seluruh rakyat India,” kata beliau dalam hantaran di FB.
HUBUNGAN DUA HALA
Anwar berkata keduanya berbincang mengenai usaha bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–India ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh.
Beliau berkata India kekal sebagai rakan penting Malaysia di lapangan perdagangan dan pelaburan, selain kerjasama erat di sektor teknologi, pendidikan serta keselamatan serantau.
Anwar berkata Malaysia akan terus komited memperkukuh hubungan Malaysia–India dan meningkatkan lagi kerjasama ASEAN–India ke arah rantau yang lebih aman dan makmur. – JM
