



Wartawan JM
Foto: Shahnaz Fazlie
26 OKT. 2025
Malaysia amat berbesar hati menjadi tuan rumah kepada majlis bersejarah melalui pembaharuan dan pemeteraian MoU antara ASEAN dan FIFA yang dilakukan sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara yang dimeterai adalah penganjuran kejohanan baharu, Piala FIFA-ASEAN bagi memperkasa pembangunan bola sepak di rantau ASEAN.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk memanfaatkan kekuatan bola sepak dalam memupuk pembangunan budaya, kemajuan sosial dan keamanan serantau,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
MEMBUKTIKAN KEUPAYAAN SUKAN
Beliau berkata perkembangan pesat bola sepak di ASEAN membuktikan keupayaan sukan ini menyatukan masyarakat pelbagai latar dan budaya.
Sebagai Pengerusi ASEAN, kata Anwar Malaysia menekankan pemberdayaan belia, keterangkuman sosial dan kerjasama serantau dan memastikan sukan ini terus berkembang secara mampan untuk generasi akan datang. – JM
