Malaysia berbesar hati menerima kunjungan rasmi Presiden Brazil dan isteri – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
26 OKT. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berbesar hati dan berbangga tatkala menerima kunjungan rasmi Presiden Lula dan isteri dari Brazil.

Beliau berkata Presiden Lula adalah pemimpin dan tokoh yang kental memperjuangkan nasib dan maruah kaum pekerja, lantang dalam keadilan sosial serta tegas menggugah prinsip kemanusiaan di pentas dunia, termasuk kezaliman di Gaza dan perjuangan melindungi bumi dan khazanahnya daripada kemelut dan bencana iklim.

“Dalam pertemuan hari ini, kami mengangkat tingkat kerjasama di pelbagai bidang yang dekat dengan kedua-dua negara, yakni perdagangan dan pelaburan, sektor tenaga, teknologi makanan, keterjaminan makanan, pendidikan dan budaya, serta teknologi tinggi dan semikonduktor,” kata beliau dalam hantaran di FB.

PELUANG YANG DIHAMPAKAN

Beliau berkata Malaysia menzahirkan penghargaan setulusnya kepada Brazil atas dukungan yang diberikan kepada Petronas dan Yinson serta peluang yang dihamparkan bagi memperluas kerjasama dalam teknologi pertanian dan industri makanan.

“Dalam sidang media bersama, beliau turut berkongsi bahawa pemikiran saya turut dipengaruhi seorang tokoh ilmuwan Brazil yakni Dr. Ezraily Vargas yang pernah membimbing saya ketika muda, apatah lagi kini dalam usaha menterjemah serta mengolah dasar penyelidikan negara,” kata Anwar.

“Beliau menanam keyakinan bahawa kemajuan sesebuah negara itu mesti berpaksi dan bertunjangkan ilmu, penyelidikan yang ‘rigorous’ dan inovasi yang menepati semangat zaman (zeitgeist),” tambah Perdana Menteri.

Justeru, katanya mesti ditegaskan betapa kunjungan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva selain menepati tuntutan diplomatik dan protokol kenegaraan, ia berakar pada nilai bersama (shared values) iaitu, kemanusiaan, keadilan dan harapan untuk dunia yang lebih bermaruah.

Beliau berkata Malaysia dan Brazil berjanji untuk berjalan sederap merapatkan Asia Tenggara dan Amerika Latin sebagai satu ketumbukan perjuangan menjelma kemakmuran dan kemuliaan insan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *