PMX, Trump ketuai delegasi masing-masing mesyuarat dua hala

Wartawan JM
Foto: Afiq Hambali, Izzuddin Abd Radzak
26 OKT. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, mengetuai delegasi masing-masing dalam sesi mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Anwar berkata pertemuan ini memperkukuh hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak tahun 1957, sambil membuka ruang baharu bagi memperdalam kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, pendidikan, pertahanan serta teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Saya turut menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan Amerika Syarikat dalam memperkukuh hubungan dua hala ke tahap Comprehensive Strategic Partnership, serta dalam menjayakan pelbagai inisiatif serantau termasuk usaha memperkukuh keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara,” katanya dalam hantaran di FB.

Beliau menegaskan komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan Pelan Damai Gaza, termasuk memastikan laluan bantuan kemanusiaan tidak dihalang dan proses pembinaan semula wilayah berkenaan dapat dilaksanakan segera demi keadilan dan maruah rakyat Palestin.

Jelas beliau Malaysia akan terus memimpin dengan prinsip, bekerjasama atas dasar saling hormat, memperkukuh perdagangan bebas dan menjunjung keamanan sejagat, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.

Dalam kesempatan ini, kami turut menandatangani Framework Agreement on Reciprocal Trade (ART) dan Memorandum of Understanding on Critical Minerals, sebagai langkah strategik memperkukuh keterjaminan rantaian bekalan serta manfaat bersama antara kedua-dua negara.

“Saya mendoakan agar hubungan baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat terus diperkukuh demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Sekali lagi beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden Trump atas kesudian berkunjung ke Malaysia dan atas komitmen beliau dalam mempererat persahabatan antara kedua-dua negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *