Malaysia terus sokong Palestin, sambut baik pendirian PBB, keputusan ICJ – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
27 OKT. 2025

Malaysia menegaskan pendirian teguh terhadap perjuangan Palestin, serta menyambut baik pendirian konsisten Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menegaskan bahawa sekatan rejim Israel terhadap bantuan kemanusiaan di Gaza melanggar undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia juga bersedia menyumbang dalam Misi Pengaman PBB ke Gaza bersama negara-negara sehaluan termasuk dalam kalangan anggota OIC.

Terdahulu Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama Setiausaha PBB, António Guterres bagi memperkukuh lagi kerjasama Malaysia–PBB termasuk di bawah kerangka ASEAN–PBB.

AGENDA REFORMASI PBB

“Saya menzahirkan sokongan penuh Malaysia terhadap agenda reformasi PBB, termasuk Pact for the Future dan UN80 Initiative, serta menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkasa Wawasan Komuniti ASEAN 2045 seiring dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 melalui pelaksanaan Complementarities Initiative 2.0,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Anwar berkata mereka turut membincangkan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam memudah cara rundingan damai antara Thailand dan Kemboja, memajukan usaha dialog inklusif di Myanmar, serta memperkukuh agenda perubahan iklim global termasuk penyerahan Nationally Determined Contributions (NDC) 3.0 Malaysia menjelang COP30 di Brazil.

Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan PBB dalam memperjuangkan keamanan, keadilan dan pembangunan mampan sejagat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *