



Wartawan JM
Foto: Afiq Hambali, Izzuddin Abd Radzak, Fath Rizal
29 OKT. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa syukur berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dinakhodai Malaysia telah melabuh tabir.
Beliau berkata sidang kemuncak ini menjadi mercu bahawa kepemimpinan ASEAN 2025 kini berpindah dari Malaysia ke Republik Filipina untuk tahun seterusnya.
“ASEAN di bawah kemudi Malaysia telah merangkul beberapa kekuatan dan semangat baharu dari Tamu Pengerusi ASEAN yakni Brazil dari benua Amerika Selatan dan Afrika Selatan dari benua Afrika, selain merupakan pendiri BRICS,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
RAKAN DIALOG ASEAN
Anwar berkata tidak dilupakan Rakan Dialog ASEAN yakni Kanada, Persekutuan Rusia, Kesatuan Eropah, Republik Rakyat China, Republik India, Jepun, Republik Korea, New Zealand, dan Amerika Syarikat yang turut sama berbicara, melontar pendirian serta pandangan dalam membentuk sebuah dunia yang berupaya mempasak harapan dan mengangkat kemakmuran ekonomi ke tingkat yang lebih bermaruah.
“Alhamdulillah, saya mendoakan kekuatan kepada sahabat baik saya Presiden Republik Filipina Bongbong Marcos sebagai Pengerusi ASEAN yang seterusnya untuk terus mengangkat suara ASEAN sebagai sebuah ketumbukan serantau yang kekal berpadu dan aman,” kata beliau.
“Ini kerana saya menginsafi serta menggarap sejarah dan derita Timor-Leste di masa lalu, dan dari sudut hati yang terdalam, saya ucap tahniah setingginya kepada Timor-Leste dan seluruh rakyatnya atas kejayaan besar ini,” tambah Anwar.
JUTAAN TERIMA KASIH
Sebagai penutup bicara, Perdana Menteri memberi penghargaan setingginya dan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersabar tatkala kita berusaha menyemarak kerjasama dan mencipta kerjasama baharu.
“Kalian menyambut barisan Tamu Negara dengan kemesraan, cemerlang, dan mengangkat hospitaliti Malaysia ke tahap tertinggi demi negara,” kata Anwar.
Anwar berkata pasukan penjawat awam dan keselamatan juga berusaha secara sederap menjamin keselamatan yang kemas dan mantap.
“Tidak dilupakan yang menekuni perjalanan persidangan dalam usaha kita meletakkan diplomasi Malaysia ke tahap yang lebih baik dan membanggakan,” tambah beliau.
Terima kasih semua. Rakyat Malaysia hebat! – JM
