PMX berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Corporation, Pengarah Urusan YTL Power

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
31 OKT. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan penuh makna bersama Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Corporation, Jensen Huang, serta Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Yeoh Seok Hong.

Anwar berkata ini merupakan pertemuan kedua mereka selepas pertemuan di Putrajaya sebelum ini di mana telah mengumumkan pelaburan untuk pembangunan infrakstruktur kecerdasan buatan (AI) menggunakan tenaga hijau bernilai RM10 billion.

Beliau berkata pelaburan ini memperlihatkan kesungguhan bersama dalam memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia, NVIDIA dan YTL Power ke arah membina masa depan digital yang berdaya saing dan berdaulat.

KEMAJUAN BESAR MALAYSIA

“Perbincangan kami menzahirkan kemajuan besar Malaysia dalam mengangkat agenda Sovereign AI daripada penubuhan Pejabat AI Kebangsaan dan pelancaran ILMU, hinggalah kejayaan pembinaan pusat data AI bertaraf dunia di Kulai, Johor hasil kolaborasi YTL Power dan NVIDIA,” kata beliau dalam hantaran di FB.

“Saya menegaskan komitmen Malaysia untuk muncul sebagai antara negara peneraju AI menjelang 2030, bukan sekadar pengguna teknologi, sebaliknya sebagai pencipta nilai dan pemacu inovasi yang merancakkan ekonomi serta mensejahterakan rakyat,” tambah beliau.

Anwar berkata membangunkan AI berdaulat adalah langkah penting untuk menjamin kedaulatan digital negara, membina ekosistem yang berasaskan kepercayaan, keselamatan dan tanggungjawab moral.

“Saya merakamkan penghargaan kepada NVIDIA dan YTL atas kemajuan ini, semoga ia mempercepatkan agenda AI Malaysia demi kemaslahatan seluruh rakyat serta masa depan ekonomi MADANI yang inklusif, beretika dan mampan,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *