Tiada syarat 80% kandungan tempatan di dalam lesen penyiaran – MCMC

Wartawan JM
1 NOV. 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merujuk kepada dakwaan yang dibuat oleh seorang bekas Ketua Pengarang bahawa Malaysia diwajibkan memansuhkan syarat lesen penyiaran yang menetapkan
80 peratus kandungan tempatan melalui perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat.

Kenyataan Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan, serta tidak mencerminkan kerangka pelesenan penyiaran yang berkuat kuasa di negara ini.

“Di bawah lesen “Content Applications Service Provider Individual (CASP)” atau lesen penyiaran individu yang dikeluarkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), tiada syarat kuota kandungan tempatan 80 peratus dikenakan terhadap penyiar
swasta di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Lesen semasa memberi kebebasan kepada penyiar untuk menentukan kandungan berdasarkan garis panduan dan piawaian kandungan yang ditetapkan oleh MCMC.

TIDAK MENGANDUNGI LARANGAN

Selain itu, lesen penyiaran di bawah AKM 1998 juga tidak mengandungi larangan terhadap penyiaran kandungan antarabangsa pada waktu perdana.

Penjadualan kandungan bergantung kepada keputusan penyiar berdasarkan permintaan pasaran dan selaras dengan peraturan kandungan sedia ada.

Kerajaan kini sedang membangunkan Dasar Penyiaran Negara (DPN) yang bertujuan memastikan ekosistem penyiaran negara kekal mampan, memperkukuh pembangunan
kandungan tempatan yang berkualiti, serta mewujudkan tadbir urus yang telus dan saksama bagi penyiar awam, swasta dan platform antarabangsa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *