

Oleh: Sholina Osman
3 NOV. 2025
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan penggunaan istilah “Muslim Choice” atau seumpamanya bukanlah suatu perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata penggunaan istilah ini boleh mengelirukan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.
Beliau berkata JAKIM telah menerima maklumat mengenai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dikenali Muslim Friendly Watch (MFW), telah memperkenalkan pengiktirafan “Muslim Choice”.
kepada para pengusaha makanan yang menepati syarat dan piawaian yang ditetapkan oleh pertubuhan tersebut.
PREMIS YANG DIIKTIRAF
“Ia bertujuan memberi keyakinan kepada pengguna bahawa produk atau premis yang diiktiraf adalah berkualiti, bersih dan selamat serta selari dengan prinsip Islam,” kata beliau dalam kenyataan media.
Berikutan itu kata beliau JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan MFW pada 23 Ogos 2025.
“Hasil pertemuan ini, kami telah memaklumkan bahawa pengiktirafan “Muslim Choice” yang dijalankan oleh pertubuhan ini boleh mendatangkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat pengguna serta memohon supaya aktiviti tersebut dihentikan,” tambah Dr. Sirajuddin.
Walau bagaimanapun, katanya berdasarkan aduan daripada pihak berkuasa agama negeri, pihak MFW dikesan masih meneruskan aktiviti tersebut.
PENGGUNAAN LOGO HALAL
Dr. Sirajuddin berkata berkata peruntukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya JAKIM dan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta memberi kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia kepada mana-mana pihak yang diperakukan.
“Sebarang penggunaan logo, simbol, istilah, kenyataan, atau ungkapan yang membawa maksud halal dan boleh dimakan oleh orang Islam, yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak selain JAKIM atau MAIN/JAIN, adalah tidak sah serta menyalahi peraturan,” kata beliau.
Selain itu kata Dr. Sirajuddin ia juga boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara dan mengelirukan pengguna Muslim.
Justeru, itu kata beliau semua pihak diingatkan untuk tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, simbol, istilah, kenyataan, atau ungkapan yang boleh memberi tanggapan halal tanpa pengesahan daripada JAKIM atau MAIN/JAIN. – JM
