Dua penyelidik UniMAP harumkan nama negara di pentas antarabangsa

Wartawan JM
4 NOV. 2025

Dua penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mengharumkan nama negara di persada dunia apabila berjaya meraih dua pingat emas serta Anugerah Khas National Research Council of Thailand (NRCT) di Pameran Inovasi iENA 2025 (International Trade Fair, Ideas, Inventions, and New Products) yang berlangsung dari 1 hingga 3 November 2025 di Nuremberg Exhibition Center, Jerman.
 
Kenyataan media Pusat Komunikasi Korporat UniMAP memaklumkan bahawa pameran inovasi berprestij tahunan itu menjadi platform utama penyelidik global untuk bertukar pandangan, membina jaringan penyelidikan antarabangsa dan meneroka perkembangan baharu dalam bidang sains serta teknologi.
 
Dalam penyertaan kali ini, UniMAP mencatat kejayaan cemerlang apabila kedua-dua produk penyelidikannya berjaya membawa pulang pingat emas.

Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata produk pertama bertajuk “A Dual-Purpose GeoPlaster Surface System for Integrated Structural Finishing and Fire Protection” dihasilkan oleh Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah bersama Prof. Madya Dr. Rafiza Abd Razak.

PLASTER PELBAGAI FUNGSI
 
Katanya, produk ini merupakan plaster pelbagai fungsi yang berperanan sebagai salutan kalis api, anti karat dan pelindung substrat daripada kerosakan akibat ancaman persekitaran luar.
 
“Menariknya, penyelidikan ini turut dijalankan di Rutherford Appleton Laboratory of the Science and Technology Facilities Council, di Harwell Science and Innovation Campus, Oxfordshire, United Kingdom. Inovasi ini bukan sahaja memenangi pingat emas, malah turut menerima Anugerah Khas NRCT dari Thailand,” kata beliau.
 
 Sementara itu, produk kedua bertajuk “NS-UR Flux Cored Lead-free Solder Wire: A High Strength Solution for Reliable Electric/Electronic Interconnects” yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh turut meraih pingat emas.

HASIL KERJASAMA STRATEGIK
 
Zaliman berkata, produk berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik antara UniMAP dan syarikat ternama Jepun, Nihon Superior, dan kini telah dihasilkan di kilang syarikat tersebut menggunakan ramuan khas yang dibangunkan oleh penyelidik UniMAP.
 
“Kejayaan kedua-dua produk ini menjadi bukti kemampuan penyelidik universiti untuk bersaing di peringkat antarabangsa serta mencerminkan kualiti penyelidikan dan inovasi yang dilahirkan oleh UniMAP.
 
“Ia bukan sahaja membanggakan universiti, malah mengangkat martabat penyelidikan negara di pentas global. Ia membuktikan bahawa penyelidik kita mempunyai keupayaan dan kreativiti bertaraf dunia,” katanya.
 
Antara negara yang turut menyertai pameran IeNA 2025 itu termasuk China, Taiwan, Thailand, Arab Saudi, Poland, Iran, Iraq, Croatia dan beberapa negara Eropah lain yang menampilkan pelbagai hasil ciptaan dan produk inovatif. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *