










KOTA KINABALU, 4 November 2025 – YBhg. Dato’ Hj. Abdul Halim bin Hj. Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewakili YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman, Ketua Setiausaha KDN telah menyempurnakan Majlis Makan Malam Gala sempena Mesyuarat 1st Malaysia–Singapore Joint Working Committee (JWC) Meeting on Cooperation in Preventing and Combatting Transnational Crimes di Kota Kinabalu, Sabah.
Majlis ini menandakan permulaan kepada satu lagi usaha penting antara Malaysia dengan Singapura bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam sektor keselamatan rentas sempadan.
Mesyuarat ini akan berlangsung pada 4-5 November 2025 membabitkan kementerian yang bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan dalam negeri bagi kedua-dua negara lantas membuktikan komitmen bersama ke arah memastikan keselamatan serantau yang lebih kukuh dan mampan.
Majlis ini menjadi pembuka tirai kepada agenda strategik dua hala antara Malaysia dan Singapura dalam memperkukuh keselamatan serantau melalui koordinasi pintar serta perkongsian maklumat dan kepakaran antara agensi penguatkuasaan kedua-dua negara.
Para delegasi telah diraikan dengan persembahan kebudayaan penuh tradisi yang menampilkan keunikan warisan seni dan budaya etnik negeri Sabah seperti Sumazau, Pakiring dan Magunatip. Majlis ini menjadi medan untuk mempererat hubungan mesra, bertukar pandangan serta memperkukuh semangat kerjasama dan persefahaman antara Malaysia dengan Singapura dalam suasana penuh harmoni.
Turut hadir, YBrs. En. Mohd Azlan bin Razali, Setiausaha Bahagian Antarabangsa KDN manakala delegasi Singapura antaranya dihadiri oleh Mr. Tan Chye Hee, Mr. Ngiam Shih Chun dan Mr. Aaron Tang.
