



KUALA LUMPUR, 5 November – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh budaya antirasuah melalui Kursus Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) bersama Unit Pelaksanaan Penyelarasan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM). Program yang diadakan di Hotel Premiera, Kuala Lumpur ini melibatkan 40 pegawai dari Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Pelaksana.
Program ini memberi tumpuan kepada penilaian risiko rasuah dalam perolehan serta isu-isu yang berkemungkinan berlaku sewaktu pelaksanaannya, seperti campur tangan pihak berkepentingan, penerimaan komisen, dan kebocoran maklumat sulit. Selain itu, pendekatan Gamifikasi Antirasuah diterapkan bagi menguji kefahaman dan kepekaan peserta terhadap isu rasuah.
Sesi soal jawab bersama tiga panel SPRM, Ps Muhammad Rashidie Ismail, KPKPs Mohd Rajib bin Adam, dan PKPs Muhammad Hafizi bin Othman, turut diadakan, bagi memberi peluang kepada peserta untuk berbincang mengenai integriti, tatakelola, dan cabaran dalam pencegahan rasuah. Program ini bertujuan memperkukuh kepimpinan jabatan dengan nilai integriti dan akauntabiliti, sejajar dengan aspirasi negara untuk membina perkhidmatan awam yang telus dan berwibawa.
