








5 November 2025
KOTA KINABALU,-
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ministry of Home Affairs (MHA) Singapura hari ini mengadakan mesyuarat 1st Malaysia–Singapore Joint Working Committee (JWC) Meeting on Cooperation in Preventing and Combatting Transnational Crimes bawah kerangka pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) Malaysia–Singapura bagi Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan, yang telah ditandatangani di Singapura pada 14 November 2024 oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri dan TYT K. Shanmugam, Minister for Home Affairs Singapura.
Mesyuarat yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah ini dihoskan oleh KDN dan dipengerusikan secara bersama oleh YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman, Ketua Setiausaha KDN, dan Encik Tan Chye Hee, Permanent Secretary (Home Affairs Development), MHA Singapura.
Berdasarkan MoU Malaysia–Singapura 2024, skop perbincangan antara KDN dengan MHA tertumpu pada kerjasama dalam pelbagai aspek bagi membanteras dan memerangi empat jenayah rentas sempadan seperti yang berikut:
- Penyeludupan Haram Dadah dan Bahan Psikotropik
- Keganasan
- Jenayah Siber dan Penipuan (termasuk Penipuan Siber)
- Keselamatan Sempadan
TANGGUNGJAWAB DUA NEGARA
Mesyuarat ini merupakan manifestasi tanggungjawab bersama dua negara berjiran rapat bagi memperkukuh rangka keselamatan rentas sempadan dan serantau, selari dengan komitmen dan hasrat yang dizahirkan oleh kedua-dua Perdana Menteri semasa 11th Malaysia-Singapore Leaders Retreat yang telah diadakan di Putrajaya pada Januari 2025. Malaysia dan Singapura berkongsi matlamat yang sama untuk menjamin kestabilan, keamanan dan keharmonian rakyat.
Kerjasama melalui mesyuarat ini juga ialah lambang kepercayaan strategik antara dua jiran yang telah terbukti kukuh dan berdaya tahan.
Pelaksanaan mesyuarat ini juga akan menjadi asas kepada pengukuhan kerjasama berterusan antara KDN dengan MHA bagi memantau kemajuan program yang disepakati dalam MoU selaras dengan visi Malaysia MADANI, pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) serta keutamaan ASEAN demi membentuk rantau yang selamat, makmur dan berdaya saing.
