PMX rasmi Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik Plaza Tol Juru, Sungai Dua

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
8 NOV. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua, Lebuhraya Utara Selatan yang menjadi tanda komitmen nyata Kerajaan dalam menyenangkan hidup rakyat.

“Saya tegaskan bahawa projek raksasa ini tercetus dari suara hati rakyat, khususnya warga Pulau Pinang dan bahagian utara Malaysia yang sekian lama dihadapkan dengan permasalahan yang cukup memprihatinkan ini,” kata Anwar ketika berucap pada majlis yang diadakan Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Lantaran itu, kata beliau kini masa untuk bertindak agar beban ke atas rakyat ini dapat diredakan.

PROJEK INI DIGERAKKAN

Jelas Perdana Menteri projek ini digerakkan melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, PLHS dan agensi-agensi teknikal yang lain. Kos juga dikongsi bersama agar bebannya tidak jatuh ke pundak rakyat.

“Saya sebut juga bahawa ada suara yang menentang keras usaha untuk membangunkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri ini atas alasan kos yang terlalu besar dan membebankan,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Anwar menjelaskan ikos meningkat kerana asalnya projek itu hanya tertumpu di kawasan pulau.

IA DISAMBUNG TERUS

“Jadi saya telah mengusulkan agar ia disambung terus ke Seberang Perai (Penang Sentral) agar pembangunan itu menjadi terangkum dan memanfaatkan lebih ramai rakyat Pulau Pinang,” kata beliau.

Beliau menjelaskan ini yang dimaksudkan dengan semangat yang madani, yakni mengolah kuasa agar pembangunan yang dicitakan terlaksana tidak hanya atas catatan angka semata, tetapi hasilnya yang mesti menyentuh aspek kehidupan dan kesejahteraan rakyat.

“Insya-Allah, Pulau Pinang akan terus memacu ekonomi negara dengan teladan prasarana yang moden, lestari dan inklusif,” tambah Perdana Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *