







Oleh: Sholina Osman
10 NOV. 2025
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan Majlis Sambutan Hari Sayyidatina Asma 2025 dan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2025 Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Sivik, Arau.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Wan Badariah Wan Saad, serta pengurusan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Perlis.
Majlis ini diadakan selama tiga hari, bermula 7 hingga 9 November 2025, mulai pukul 8.00 pagi hingga 11.00 malam, dengan pelbagai pengisian menarik untuk seisi keluarga.
Program ini bertujuan memperkukuh institusi kekeluargaan serta memperkasakan peranan wanita dalam pembangunan masyarakat yang sejahtera dan harmoni.
NILAI KASIH SAYANG
Ia juga menjadi platform bagi memupuk nilai kasih sayang, kebersamaan dan kesejahteraan keluarga dalam kalangan rakyat Negeri Perlis.
Dalam majlis tersebut, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah berkenan menyempurnakan simbolik perasmian serta menyampaikan penganugerahan Tokoh Sayyidatina Asma Tahun 2025 kepada Mantan Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad atas jasa dan sumbangan beliau dalam bidang kepimpinan serta pembangunan wanita negeri ini.
Raja Puan Muda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan Bantuan IUI dan Advokasi Infertiliti (BuAI) kepada tiga pasangan terpilih sebagai tanda sokongan terhadap kesejahteraan dan kebahagiaan institusi keluarga.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik dan berfaedah bagi menarik penyertaan masyarakat pelbagai peringkat usia.
Antara pengisian utama program termasuk Women’s Talk Siri 2, Bengkel Solekan dan Penataan Gaya, Konvensyen Wanita, Family Fun Walk, Pertandingan Mewarna, Food Festival, Jualan Rahmah, Cabutan Bertuah, Kempen Derma Darah, serta persembahan istimewa daripada Caliph Buskers dan In-Team.
Penganjuran sambutan ini mencerminkan komitmen padu dalam memperkukuh nilai kekeluargaan serta menggalakkan penglibatan komuniti secara menyeluruh ke arah pembentukan masyarakat yang harmoni, prihatin dan berdaya tahan. – JM
