





Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
11 NOV. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan tinjauan operasi serta bertemu tenaga kerja yang menjadi tulang belakang kejayaan Perodua atau “King of the Road” di Sungai Choh, Rawang, Selangor.
Dalam sesi taklimat, Anwar turut diberi penerangan mengenai prestasi semasa serta perancangan pelancaran model kenderaan elektrik (EV) pertama Perodua yang bakal diluncurkan tidak lama lagi.
“Inisiatif ini amat bertepatan dengan semangat Malaysia MADANI, yang menekankan kemajuan berpaksikan nilai mampan, keterangkuman dan kesejahteraan rakyat,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Beliau berkata pembangunan EV oleh Perodua bukan sekadar memperkukuh keupayaan industri automotif nasional, tetapi juga mencerminkan komitmen terhadap teknologi hijau, penciptaan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, dan penawaran produk yang berpatutan serta berimpak sosial tinggi.
BOLEH BERGERAK SEIRING
Anwar berkata usaha ini memperlihatkan bahawa kemajuan ekonomi dan nilai kemanusiaan boleh bergerak seiring bahawa inovasi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar bukan pilihan yang berbeza, tetapi dua sisi dalam satu aspirasi negara MADANI yang menjuarai ekonomi hijau dan berdaya saing.
“Saya yakin Perodua akan terus menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh ekosistem automotif negara dan memacu Malaysia ke arah masa depan mobiliti yang lebih lestari, berdaya cipta dan berjiwa rakyat,” kata beliau.
Perdana Menteri melahirkan penghargaan buat seluruh warga kerja Perodua yang menjadi nadi di sebalik kejayaan syarikat ini, bekerja dengan penuh dedikasi untuk memastikan setiap kenderaan yang dilahirkan menjadi kebanggaan negara.
“Semoga Perodua terus berkembang maju dan kekal menjadi jenama kenderaan pilihan utama rakyat Malaysia,” tambah beliau. – JM
