


Wartawan JM
12 NOV. 2025
Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Pembangunan
Pelaburan Malaysia (MIDA) telah memperkukuh kerjasama strategik bagi memacu transformasi industri negara.
Kenyataan media MCMC memaklumkan ia termetrai melalui segmen “Powering Smart Industries” dalam MIDA Flagship Investment Seminar: The Industrial Cluster Development Initiative for the Central Region, yang berlangsung dari 11 hingga 12 November 2025 di Kuala Lumpur.
Seminar ini menghimpunkan pemimpin industri utama, ahli-ahli perniagaan dan agensi kerajaan bagi merangka fasa seterusnya untuk pertumbuhan industri koridor ekonomi dinamik Malaysia yang merangkumi Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Kumpulan ini menyumbangkan hampir separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara serta menjadi teras kepada sektor utama teknologi maju seperti elektronik, automotif dan logistik.
DARIPADA USAHA KOLABORATIF
Penyertaan MCMC adalah sebahagian daripada usaha kolaboratif di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dengan MIDA ditandatangani pada 4 Julai 2024, yang antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan terhadap penggunaan 5G dalam kalangan industri, sektor vertikal serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Bagi menterjemahkan strategi kepada tindakan, MCMC bersama Penyedia Rangkaian Mudah Alih (CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YTL) telah menganjurkan 5G Technology Showcase dan Enterprise 5G Business Clinic, yang menawarkan khidmat perundingan secara langsung dengan pakar penyelesaian.
Pameran tersebut menampilkan aplikasi praktikal teknologi berasaskan 5G, daripada pembuatan pintar hingga analitik masa nyata, yang menunjukkan bagaimana inovasi ini mampu mentransformasi operasi serta memperkukuh
ekosistem industri negara.
Melengkapi usaha ini, MCMC turut menampilkan inisiatif seperti NEXUS, PRIME, NXT, Check Your Label dan Kempen Internet Selamat (KIS) di Pavilion Pameran, 2 sebagai platform kolaboratif untuk mempertingkat kesedaran dan sesi libat urus industri.
Menerusi inisiatif ini, MCMC dan MIDA menegaskan komitmen strategik mereka untuk mempercepat daya saing industri dan memacu peralihan
Malaysia ke arah ekonomi berasaskan 5G, memastikan sektor perniagaan tersedia untuk berkembang dalam dunia yang saling terhubung. – JM
