


Oleh: Sholina Osman
14 NOV. 2025
Seorang pekerja pembersihan melecur pada bahagian kepala dan badan ketika cuba menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran di sebuah bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit, Kampung Abi, Kangar pada kira-kira pukul 11.05 pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis Mohamad Azhar Yussof berkata lelaki berkenaan yang berusia 29 tahun itu telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.
Beliau berkata mangsa yang melecur 30 peratus itu dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.05 pagi sebelum tiba di lokasi kira-kira 13 minit selepas itu,” kata beliau pada media di lokasi kejadian.
MELIBATKAN LAPAN BILIK
Beliau berkata kejadian kebakaran itu melibatkan lapan bilik iaitu stor, bilik seni, bilik reka bentuk dan teknologi (RBT) serta bilik kesihatan.
Jelas beliau kebakaran itu dipercayai bermula dari bilik stor sebelum merebak ke bilik lain bersebelahan.
Sementara itu Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin, berkata kesemua 192 murid dan 18 guru sekolah tersebut selamat dan dipindahkan ke dewan sebaik sahaja kebakaran dikesan. – JM
