






Wartawan JM
14 NOV. 2025
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah lima amanat utama sebagai panduan seluruh warga Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bagi memastikan institusi pengajian itu terus maju berteraskan kebenaran, ilmu dan keikhlasan serta sentiasa berada dalam lindungan dan keberkatan Allah SWT.
Baginda bertitah amanat pertama ialah menjadikan penghayatan sunnah sebagai teras segala gerak universiti, diikuti kedua melahirkan insan berilm, berakhlak dan beradab manakala amanat ketiga menjadikan UniSIRAJ sebagai institusi rujukan Islam pelbagai disiplin ilmu.
Titah Baginda amanat keempat pula memperkukuh penyelidikan dan inovasi berteraskan nilai Islam dan kelima memperkukuh peranan UniSIRAJ dalam pembinaan tamadun serta kemanusiaan sejagat.
“Lima amanat ini hendaklah dijadikan panduan dan pedoman dalam seluruh perjalanan universiti ini. Apabila ketiga-tiga asas ini bersatu iaitu sunnah, ilmu dan amanah maka akan lahirlah generasi yang bukan sahaja cemerlang ilmunya, tetapi juga luhur akhlaknya.
SEBAGAI MERCU ILMU
“Dengan izin dan inayah Allah SWT, UniSIRAJ akan terus tumbuh sebagai mercu ilmu, pusat hikmah dan cahaya tamadun baharu bagi negeri Perlis – tempat “Di Sini Pencinta Sunnah Dilahirkan,” titah Baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah ketika memasyhurkan UniSIRAJ sebagai mercu ilmu dan cahaya baharu Perlis di Dewan 2020 di Kangar malam tadi.
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Canselor UniSIRAJ dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
UniSIRAJ MESTI TAMPIL
Baginda bertitah dalam dunia yang sarat dengan pertembungan ideologi dan kekosongan rohani, UniSIRAJ mesti tampil membawa makna sebenar rahmatan lil-‘alamin dengan menjadi jambatan antara dunia Islam dan masyarakat antarabangsa, menyebarkan mesej kash sayang, perdamaian, serta tanggungjawab kemanusidan melalui ilmu dan amal.
Terdahulu pada majlis pemasyhuran UniSIRAJ, bekas Rektor KUIPs Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle diisytihar sebagai Naib Canselor pertama universiti tersebut. – JM
