PMX percaya negara ini dapat dibangunkan dengan menghimpunkan kekuatan rakyat pelbagai kaum

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
15 NOV. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya negara ini hanya dapat dibangunkan dengan menghimpun kekuatan rakyat pelbagai kaum dari seluruh negeri dan wilayah.

Beliau berkata ia menjadi unjang kekuatan Kerajaan MADANI, dengan kejayaan yang kini mula membuahkan hasil tatkala ekonomi terus berkembang pesat, pelaburan melonjak ke tahap tertinggi, ringgit mengukuh, dan masyarakat serta pimpinan dunia kembali memandang tinggi negara kita.

“Lebih penting, segala hasil dipulangkan kembali kepada rakyat di mana Kerajaan MADANI menyalurkan sehingga RM17 bilion kepada Sabah bagi menyelesaikan masalah yang sekian lama membelenggu urang Sabah, termasuk isu air, elektrik dan jalan raya,” kata beliau dalam hantaran di FB.

MAJLIS MAKAN MALAM

Sebelum itu Anwar hadir pada majlis makan malam bersama masyarakat Cina Kota Kinabalu di Putera Ballroom, Kampung Bukit Padang.

“Kita tidak bercakap kosong, tetapi membuktikan dengan tindakan,” kata beliau.

Beliau berkata sebanyak RM1.2 bilion telah diperuntukkan untuk menangani isu bekalan elektrik di Sabah, meskipun pengurusan elektrik kini terletak di bawah Kerajaan Negeri.

RAKYAT SABAH MENERIMA

Sejak tahun lalu juga, kata beliau lebih RM1 bilion disediakan bagi memastikan rakyat Sabah menerima bekalan air bersih.

Selain itu tambah beliau sebanyak RM2 bilion juga digerakkan untuk memperkukuh ketersambungan internet melalui Projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) melibatkan laluan ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau.

“Kita akan terus bekerja lebih keras untuk mengangkat martabat rakyat dan negeri ini dengan tindakan yang nyata dan hasil yang boleh dirasai bersama,” kata beliau lagi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *