Raja Muda luar biasa berbasikal masuk kampung salur bantuan – Pengurus Zakat, Wakaf Kenya Red Cross

Oleh: Sholina Osman
15 NOV. 2025

Usaha berterusan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam memartabatkan agenda kebajikan terus memberi impak mendalam, bukan sahaja di dalam negeri bahkan turut menggerakkan inspirasi di peringkat antarabangsa.

Pengurus Zakat dan Wakaf Kenya Red Cross, Rufae Abdullah, menzahirkan rasa teruja dan kagum atas keprihatinan serta kemurahan hati Baginda, khususnya selepas beliau menyaksikan sendiri pendekatan Baginda yang sentiasa turun padang menyantuni masyarakat memerlukan di Perlis.

“Saya amat menghargai kunjungan Tuanku ke Kenya sebelum ini, dan saya sendiri merasai kemurahan hati Baginda. Pada awalnya, saya menyangka kebaikan Tuanku hanya terserlah di luar negara, namun setelah melihat sendiri apa yang Baginda laksanakan di Perlis, saya benar-benar tersentuh,” ujarnya.

KESUNGGUHAN BAGINDA BERBASIKAL

Menurut Rufae, kesungguhan Baginda berbasikal merentasi kampung serta bertemu rakyat untuk menyalurkan bantuan adalah tindakan luar biasa yang sangat memberi inspirasi.

“Tuanku tidak pun perlu melakukan semua itu, namun atas sifat penuh keprihatinan dan kemurahan hati, Baginda tetap memilih untuk turun padang. Ia memberikan pelajaran yang sangat bermakna kepada saya,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan bahawa pengalaman tersebut menjadi pencetus semangat untuk dibawa pulang ke Kenya. “Apabila saya kembali nanti, saya berhasrat melaksanakan inisiatif serupa bagi membantu masyarakat di kampung halaman saya,” katanya lagi.

KAYUHAN MAIPs PEDULI

Penghargaan tersebut disampaikan oleh Rufae di akhir program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Kampung Guar Gajah, Arau.

Rufae merupakan salah seorang peserta Nusantara–Africa Scholars Summit 2025 yang berada di Perlis sempena Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) Kali Ketiga dan Majlis Ilmuwan Afrika (MIA) 2025. Persidangan tersebut menghimpunkan 10 peserta dari Malaysia, 8 dari Indonesia, 2 dari Thailand, 1 dari Kemboja, 2 dari Singapura, serta masing-masing seorang dari Ethiopia, Namibia, Rwanda dan Kenya.

Para peserta dari benua Afrika yang turut hadir adalah Sheikh Musa Sindayigaya, Mufti Rwanda; Prof Ademi Kamil Faris, Jawatankuasa Islam Ethiopia; dan Dr Ahmad Cheikhyoussef, Pusat Islam Windhoek Namibia.

MEMPERKUKUH SEMANGAT TA’AWUN

Persidangan ini bertujuan memperkukuh semangat ta‘awun atau kerjasama dalam gerakan dakwah, menyediakan platform perbincangan serta pertukaran ilmu dalam pelbagai bidang, dan mengukuhkan jaringan strategik antara institusi keagamaan rantau Nusantara dan Afrika.

Dalam program kayuhan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga penerima: Sha’ari Ismail, 61, dari Kampung Batas Liku; Norjuliana Ibrahim, 42, dari Kampung Guar Lepai; dan Halimah Mat, 74, dari Kampung Kubang Batu. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *