




Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
17 NOV. 2025
Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-82 memberi penekanan kepada usaha memantapkan aspek kawal selia tanah supaya lebih inklusif, melindungi kepentingan rakyat, serta responsif terhadap keperluan dan realiti semasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mesyuarat itu turut bersetuju dan berpegang teguh kepada komitmen mengekalkan 50 peratus keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan.
Beliau menjelaskan ia selaras dengan aspirasi antarabangsa dan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026–2030.
Anwar berkata bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksana dengan segera demi kebajikan rakyat, beliau menyeru agar Kerajaan Persekutuan dan Negeri terus memperkukuh kerjasama.
“Khususnya dalam mempercepat proses kelulusan urusan tanah bagi tujuan pembangunan, tanpa menjejaskan prosedur sedia ada dan tetap menghormati bidang kuasa Kerajaan Negeri,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-82.
Beliau berkata Kerajaan MADANI akan terus berikhtiar mengangkat agenda pembangunan yang berimbang antara keperluan manusia dan kelestarian alam, selari dengan prinsip kemampanan sebagai salah satu teras utama konsep MADANI. – JM
