Pilihlah calon bawa HARAPAN buat Urang Sabah – PMX

Wartawan JM
17 NOV. 2025

Pilihlah calon yang membawa HARAPAN buat Urang Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kempen Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini adalah tentang rekod kerja, tentang apa yang telah kita laksanakan sepanjang tiga tahun mentadbir negara.

“Sekitar RM15 bilion telah diperuntukkan untuk STR dan SARA; kenaikan gaji penjawat awam tertinggi dalam sejarah telah dilaksanakan buat pertama kali selepas 12 tahun; gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700; dan semua ini memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Terdahulu beliau hadir Ceramah Perdana PM Sayang Sabah DUN Inanam di tapak letak kereta Inanam New Township.

13 TUNTUAN MA63

Bahkan, kata Perdana Menteri sembilan daripada 13 tuntutan MA63 telah kita tunaikan dalam tempoh tiga tahun, satu pencapaian yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata Kerajaan MADANI juga menaikkan Pemberian Khas Sabah kepada RM600 juta, yang tertinggi dalam sejarah

“Kita nyatakan dengan jelas bahawa kadar ini hanyalah sementara, kerana matlamat kita adalah melaksanakan pemberian berdasarkan 40 peratus hasil, selepas kadarnya dipersetujui oleh Persekutuan dan Negeri. Rundingan rasmi mengenai perkara ini akan bermula Isnin ini,” tambah beliau.

DIPERSOALKAN HARI INI

“Yang wajar dipersoalkan hari ini ialah wakil-wakil rakyat terutama di Sabah, yang pernah menjadi Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Menteri. Apa sebenarnya yang kalian lakukan ketika berkuasa, selain membiarkan rakyat kamu terus bergelut dengan masalah asas seperti air, elektrik dan jalan raya?,” tegas Anwar.

Beliau percaya urang Sabah cukup bijak untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar mahu bekerja menyelesaikan masalah warisan ini, bukan mereka yang hanya sibuk mengaut kekayaan untuk diri sendiri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *