







Oleh: Sholina Osman
18 NOV. 2025
Seramai 300 orang pelajar Tingkatan 5 dari sembilan buah sekolah di Negeri Perlis di bawah District Transformation Programme (DTP).
Ia berlangsung di Dewan Serbaguna Jabatan Pendidikan Negeri Perlis JPN Perlis, Kangar baru-baru ini.
Program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN) Perlis ini khusus untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terutamanya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
MENINGKATKAN PENGUASAAN TEKNIK
Ia bertujuan meningkatkan penguasaan teknik menjawab soalan serta membina keyakinan para pelajar menjelang peperiksaan penting tersebut.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis
District Transformation Programme (DTP).
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin.
Sebagai simbol dorongan, sokongan dan keprihatinan, Raja Muda turut berkenan menyampaikan set alat tulis kepada para pelajar sebagai motivasi tambahan untuk menghadapi SPM dengan lebih bersedia.
STRATEGI MENJAWAB SOALAN
Pengisian program ini menumpukan kepada strategi menjawab soalan dan pemantapan kendiri, melalui slot khas untuk mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta sesi motivasi “Rise to Success”.
Sesi motivasi ini menekankan pengurusan emosi, keyakinan diri, dan persediaan mental para pelajar agar mampu menghadapi cabaran peperiksaan dengan tenang dan berkeyakinan.
Program ini turut mendapat sokongan erat daripada pelbagai pihak, termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), NGO Cinta Bangsa, serta sekolah-sekolah yang terlibat, bagi mengukuhkan ekosistem sokongan kepada murid-murid berisiko.
Pelaksanaan program ini dijangka memberikan impak positif terhadap pencapaian SPM 2025, sekaligus menyumbang kepada peningkatan prestasi pendidikan di Negeri Perlis secara menyeluruh. – JM
