






Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
19 NOV. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan acara rasmi di Addis Ababa dengan berkunjung ke Muzium Kemenangan Adwa (Adwa Victory Memorial Museum).
Beliau berkata muzium ini sangat menakjubkan di mana mengabdikan pelbagai artifak sejarah dan lukisan yang menelusuri dengan terperinci catatan sejarah, martabat, keberanian dan keteguhan rakyat Ethiopia saat berdepan dengan kuasa imperialis Itali dalam Pertempuran Adwa 1896.
“Ia tidak hanya mercu kejayaan rakyat dan tentera Ethiopia, tetapi menjadi simbol tegas penolakan terhadap imperalisme yang dihadapkan ke atas benua Afrika,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Beliau berkata kemenangan di Adwa menjadi petunjuk nyata serta menginspirasikan keyakinan dan sumber kekuatan kepada pelbagai gerakan kemerdekaan selepasnya yang bercambah dan melata secara menyeluruh ke seluruh benua Afrika.
“Salut saya kepada Ethiopia kerana punyai kemampuan yang teguh dalam mengangkat nilai dan pembudayaan sejarah yang serius dan mantap untuk dunia seluruhnya,” kata beliau. – JM
