




Oleh: Sholina Osman
Foto Zon Maritim Kuala Perlis
19 NOV. 2025
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 19 tong minyak petrol dan 15 tong minyak diesel bersubsidi ke negara jiran.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata kes itu dikesan dalam satu operasi pada kedudukan 0.05 dan 0.07 batu nautika dari selatan Pulau Ketam, Perlis, pagi semalam.
“Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan dalam OP AMAN dan OP TIRIS 3.0 telah menerima maklumat risikan sebelum mengesan dua buah sampan kayu tanpa nombor pendaftaran bersama enjin bergalah dalam keadaan mencurigakan,” kata beliau dalam kenyataan media.
BERPENGKALAN DI PULAU KETAM
Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati, sampan terbabit yang dipercayai berpengkalan di Pulau Ketam itu ditinggalkan tanpa pemilik.
Hasil pemeriksaan lanjut katanya, terdapat lebih kurang 570 liter minyak petrol dalam 19 tong manakala 450 liter minyak diesel pula dalam 15 tong.
Nak Rong berkata kes itu disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 (Pindaan 2021) dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu memiliki atau membawa keluar tanpa permit dan kebenaran dari pihak berkuasa.
DIBAWA KE JETI
“Kesemua hasil rampasan yang dianggarkan berjumlah lebih RM40 ribu itu dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” jelas beliau.
Tambah Nak Rong, rampasan yang dilakukan ini membuktikan pihak Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Kuala Perlis sentiasa komited membanteras aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi yang menjejaskan hasil negara.
Maritim Malaysia meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.
Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian kecemasan 999 untuk maklumbalas segera. – JM
