





Wartawan JM
Foto FB Farhan Fauzi
20 NOV. 2025
Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar melihat penerimaan rakyat Sabah terhadap Pakatan Harapan (PH) serta calon parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sebagai sangat positif.
Malah katanya dengan kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah pada minggu lepas, serta memberikan keutamaan kepada pengiktirafan ekonomi negeri sebelum kempen pilihan raya bermula, antara faktor yang membawa reaksi positif penduduk.
Nurul Izzah menyifatkan kebanyakan rakyat di negeri ini amat peramah dan beliau yakin ini menandakan keterbukaan rakyat untuk menilai tawaran PH semasa berkempen dengan berdasarkan fakta dan rekod pelaksanaan setakat ini.
BERSYUKUR DENGAN RESPONS
“Kami minta supaya pilihan (pengundi) berasaskan fakta dan saya amat bersyukur dengan respons yang sangat positif,” katanya kepada media semasa mengadakan Tinjauan Mesra Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog di Pasar Tamu Donggongon, Penampang.
Hadir sama calon PH Remysta Jimmy Taylor.
Nurul Izzah yang juga Pengarah Bersama Kempen Pilihan Raya PKR berkata komitmen dan khidmat parti kepada rakyat tidak terhenti selepas tamat kempen.
Beliau menjelaskan selepas berkempen dan hari mengundi, ialah bagaimana mereka boleh memberikan khidmat dan cuba menyelesaikan masalah (rakyat) dalam jangka pendek, pertengahan dan panjang kerana kita tahu, bukan semua boleh diselesaikan dalam tempoh 24 jam,” katanya.
TELAH DISAMBUT MESRA
Nurul Izzah yang meluangkan masa lebih sejam telah disambut mesra oleh peniaga dan pengunjung pasar yang tidak melepaskan peluang bergambar serta merakam video sebagai kenangan.
Peniaga dan pengunjung juga tidak ketinggalan menyanyikan lagu “Selamat Hari Jadi” untuk meraikan ulang tahun kelahiran Nurul lzzah pada 19 November. – JM
