

Oleh: Sholina Osman
Foto FB Shamsul Azri bin Abu Bakar
21 NOV. 2025
Datuk Abdul Halim Hamzah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi yang baharu
berkuat kuasa 24 November 2025.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang mengumumkan pelantikan ini telah menzahirkan sukacita serta merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Abdul Halim.
“Abdul Halim, 54 merupakan graduan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pemegang ljazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM),” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.
TELAH MENABUR BAKTI
Shamsul Azri berkata, Abdul Halim telah menabur bakti dalam perkhidmatan awam selama hampir 30 tahun, bermula sebagai Penolong Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Kewangan & Pembangunan) di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2023 sebelum memimpin Agensi Pengurusan Bencana Negara
(NADMA) sebagai Ketua Pengarah,” kata beliau.
Beliau yakin dengan pengalaman kepimpinan yang luas ini serta rekod perkhidmatan yang cemerlang, Abdul Halim akan memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan terus menyumbang kepada kesejahteraan serta kemakmuran negara. – JM
