Jawatankuasa Khas Bersama Kementerian Komunikasi, KKM akan dibentuk pantau keberkesanan NG MERS 999

Oleh: Sholina Osman
Foto FB Fahmi Fadzil
22 NOV. 2025

Sebuah Jawatankuasa Khas Bersama melibatkan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dibentuk bagi memastikan keberkesanan dan kestabilan Sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999).

Dalam kenyataan media bersama dua kementerian iaitu Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan jawatankuasa ini akan meneliti semua isu teknikal, pengoperasian dan koordinasi antara agensi tindak balas kecemasan.

Selain itu jawatankuasa ini akan memastikan penyampaian perkhidmatan kecemasan kekal lancar dan selamat, termasuk tindakan segera bagi penambahbaikan sistem dari semasa ke semasa.

MENYEDIAKAN LAPORAN MINGGUAN

Jawatankuasa ini juga akan menyediakan laporan mingguan kepada Jemaah Menteri mengenai status pelaksanaan, keberkesanan operasi, indikator prestasi utama, serta cadangan penyelesaian jangka pendek dan panjang.

Sementara itu kedua-dua menteri ini juga telah meninjau Pusat Kawalan NG MERS 999.

Dari sistem NG MERS 999 mula beroperasi dan hingga pukul 12.00 tengah hari tadi (21 November) NG MERS 999 telah menerima 323,957 panggilan yang dikendalikan oleh 170 pegawai kecemasan profesional di 1,302 stesen kerja.

95 peratus panggilan diproses dalam masa 8 saat.

MEMBERIKAN PERKHIDMATAN SOKONGAN

Pusat Sokongan Teknikal 24 jam juga tersedia di seluruh negara untuk memberikan perkhidmatan sokongan dan penyelenggaraan apabila diperlukan.

Kerajaan MADANI akan terus memastikan sistem kecemasan negara beroperasi pada tahap kecekapan tertinggi demi keselamatan rakyat.

Kerja-kerja penstabilan, penyelarasan teknikal serta penambahbaikan operasi sedang dilaksanakan secara berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada keberkesanan respons, ketepatan maklumat dan koordinasi antara agensi.

Pihak KKM juga sedang melaksanakan pelarasan proses kerja (workflow) sementara bagi memastikan respons klinikal dan perubatan kekal berada pada tahap optimum.

PLATFORM KECEMASAN NASIONAL

Penting untuk ditegaskan bahawa Sistem NG MERS 999 kekal beroperasi sepenuhnya sebagai platform kecemasan nasional, dan semua agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus berfungsi melalui sistem tersebut tanpa sebarang perubahan.

Pelarasan proses kerja ini hanya melibatkan aliran kerja dalaman bagi pengurusan panggilan kecemasan perubatan di bawah KKM.

Response Centre (RC) 999 akan terus menerima panggilan melalui NG MERS 999.

Pusat Penyelarasan Kecemasan Perubatan (MECC) kekal sebagai sebahagian daripada ekosistem NG MERS 999 dan akan terus mengklasifikasi serta menyelaras panggilan yang memerlukan penglibatan agensi lain melalui pusat kawalan NG MERS 999 di Kuala Lumpur, Melaka dan Kuching, Sarawak.

Melalui penyesuaian tersebut, proses pengaktifan ambulans dapat dilaksanakan dengan lebih teratur mengikut proses kerja yang telah terbukti stabil semasa integrasi penuh dibuat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *