







22 November 2025
Pertemuan bersama diaspora Malaysia semalam di Johannesburg tersangat istimewa.
Menurut Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim,. meski jauh beribu batu dari tanah air tercinta, semangat dan kehangatan keakraban mereka terasa seperti berkumpul di Kuala Lumpur.
Jelas PMX, mereka berkongsi cabaran, peluang dan perjalanan hidup yang membentuk kekuatan serta perpaduan komuniti Malaysia di rantau penting ini.
” Saya ambil kesempatan untuk bersyarah mengenai komitmen Kerajaan MADANI untuk terus merapat serta menyemarak hubungan dengan warga Malaysia yang berada di luar negara dengan memastikan mereka sentiasa terhubung dengan tanah air, dihargai dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada nadi serta roh pembangunan bangsa.
“Saya juga berkongsi matlamat negara dalam kunjungan rasmi ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya di mana ia tidak hanya berkisar soal ekonomi dan pelaburan semata, tetapi juga cita besar memetakan Malaysia di persada nilai dan prinsip-prinsip kemanusiaan yang kita kongsi bersama.
” Dan betapa sejarah derita yang panjang benua Afrika mesti ditelaah dan digarap sebagai usaha dan upaya melonjak ketumbukan yang berpaksi pada multilateralisme dan keadilan, ” jelas PMX dalam perkongsian di laman media sosialnya hari ini.
Di penghujung majlis, PMX teruja dan terkesan menyaksikan betapa dalamnya kecintaan mereka terhadap Malaysia.
Jelas Anwar, diaspora Malaysia adalah duta tidak rasmi negara yang punyai nurani untuk mencipta reputasi dan imej negara, memperluas jaringan dan melonjak maruah negara ke hadapan.
Jelas PMX lagi, semoga hubungan ini terus mekar dan erat demi rakyat serta negara seluruhnya.
🇲🇾🇿🇦
