Utamakan kestabilan kerajaan, Karamunting jadi pusat ekonomi baharu – George Hiew

George Hiew Vun mahu Karamunting jadi pusat ekonomi baharu Sandakan.
Saya datang bukan dengan janji kosong – kata George Hiew Vun kepada pengundi DUN Karamunting.

Oleh Helmi Mohd Foud
(Sorotan PRN ke 17 bersama Datuk George Hiew Vun calon N.02 Dun Karamunting)

24 November 2025

SANDAKAN :

Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi N.02 Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berhasrat menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat ekonomi baharu di Sandakan terutamanya melibatkan sektor pelancongan serta industri minyak dan gas.

Beliau berkata, pihaknya mahu sebuah pusat sehenti makanan laut dibina berhampiran Pasar Karamunting, menjadikannya kawasan tumpuan pelancong dan pusat jualan hasil laut yang memberi manfaat kepada nelayan dan peniaga tempatan.

BUKAN DATANG DENGAN JANJI KOSONG

“Sebagai anak Sandakan saya ingin membawa perubahan yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat di Karamunting.

“Saya bukan datang dengan janji kosong tetapi dengan perancangan yang jelas dan usaha yang telahpun bermula. Saya berhasrat untuk menjadikan Karamunting sebagai pusat ekonomi baharu Sandakan,” katanya dalam satu hantaran rakaman video yang disiarkan dalam laman sosialnya.

Pemimpin berusia 46 tahun itu merupakan lulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (UMP selain berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan termasuk menjadi Pembantu Menteri.

Beliau turut memegang peranan penting dalam pembangunan industri melalui Sabah Oil and Gas Development (SOGDC) di samping aktif memimpin dan menasihati pelbagai persatuan masyarakat dan komuniti Hakka di Sandakan.

LEBIH 1,000 LAMPU SOLAR DIPASANG UNTUK KESELAMATAN

George Hiew yang telah menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak 2020 berkata, beliau mahu menghidupkan semula Kampung Pukat sebagai destinasi pelancongan warisan selain terus memperjuangkan hak penduduk di Kampung Karamunting, Kampung Ayer dan Kampung Bokara.

“Di Karamunting lebih 1,000 lampu solar telah dipasang demi keselamatan penduduk dan usaha ini akan diteruskan sehingga seluruh kawasan lebih teratur, terang dan selamat,” ujarnya.

Tambah beliau, peluang pekerjaan turut menjadi keutamaan dengan komitmen untuk membuka lebih banyak ruang kerja melalui sektor pelancongan dan pembangunan industri minyak dan gas supaya anak-anak muda Karamunting tidak lagi terpaksa pergi ke jauh mencari rezeki.

“Karamunting mesti menjadi tempat yang berkembang dengan peluang ekonomi untuk semua.

“Saya juga akan memastikan infrastruktur asas terus dipertingkatkan termasuk jalan raya, kemudahan awam dan kebersihan kawasan pesisir serta kampung,” ujarnya yang pernah berkhidmat sebagai Pembantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dalam pada itu, George menekankan kepada rakyat Sabah tentang kestabilan kerajaan yang amat penting untuk kesinambungan projek pembangunan, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.

“Perubahan kerajaan yang kerap boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan menangguhkan pembangunan,” ujarnya.

Keputusannya bertanding sebagai calon PH juga merupakan satu langkah untuk memperkukuh kerajaan dan memastikan kemakmuran berterusan untuk rakyat Sabah.

Gabungan pengalaman pentadbiran negeri, pengaruh akar umbi dan kefahaman mendalam tentang kestabilan politik menjadikan George Hiew seorang pemimpin yang bukan sahaja berperanan dalam arena politik malah membawa elemen pembangunan dan strategi untuk kesejahteraan masyarakat di Karamunting dan Sabah.

Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, George Hiew berdepan pertandingan lima penjuru di kerusi N. 54 itu.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *